Kalau korang bercuti ke Pulau Tioman bersama ahli keluarga dan rakan-rakan, jangan risau soal makan dan minum, sampai terfikir nak bawa bekalan maggi atau makanan segera lain.

Ini kerana di Pulau Tioman terdapat banyak tempat makanan halal yang menghidangkan pelbagai menu lazat terutama makanan laut, dan paling penting mereka tidak menjual sebarang minuman keras atau bahan yang dilarang kepada Muslim.

Berikut antara tempat makan yang boleh anda cuba sekiranya ingin menjamu selera ketika melancong ke Pulau Tioman.

Salang Indah Restaurant

Salah satu restoran terbesar jika anda menginap di Kampung Salang, Pulau Tioman adalah Restoran Salang Indah yang terletak hanya 100 meter dari jeti memberikan anda pengalaman menjamu selera dengan pemandangan laut yang indah dan hembusan angin pantai yang sangat menyenangkan.

Di sini terdapat pelbagai menu masakan Thai, sandwic, roti bakar, penkek, bubur, bahkan roti canai turut dihidangkan kepada pelanggan.

Salang Dream Restaurant

Restoran Salang Dream adalah salah satu restoran paling popular di pulau ini dan ia sentiasa dipenuhi dengan penduduk tempatan serta pelancong asing.

Mereka paling terkenal dengan menu ayam panggang dan makanan laut yang dihidangkan lengkap bersama kentang, salad dan jagung manis. Selain itu di sini juga terdapat spageti dan stik yang sangat lazat!

Tioman Cabana Beach Bistro

Tioman Cabana Beach Bistro yang berkonsepkan kafe bistro ini adalah sangat disyorkan jika anda berada di Kampung Tekek, Pulau Tioman.

Kebanyakan menu makanan di sini berasaskan makanan laut, Asia dan vegetarian termasuk penkek, omelet, burger, nasi, mi dan pizza.

Fiqthya Chalets Cafe

Kafe yang berkonsepkan warung makan ini terletak di Chalet Fiqthya di Kampung Air Batang, Pulau Tioman. 

Salah satu menu yang wajib dicuba apabila makan di sini tentunya ‘Fried Tom Yum Noodle’ yang sangat lazat serta pencuci mulut istimewanya Clear Coconut Pudding dan pulut mangga.

Restoran Delima 

Terdapat dua restoran Delima di Pulau Tioman. Yang pertama adalah di Kampung Tekek, manakala restoran kedua terletak di jalan utama Berjaya Resort.

Restoran Delima ini menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi dan hidangan makanan lazat dengan menu masakan Melayu.

Artikel berkaitan
Biar Bonar Dungun Kini ‘Famous’ Dengan Mee Sup Melayu Champa?
5 Makanan Halal Wajib Cuba di Jeju