Baba dan Nyonya atau Peranakan adalah tergolong sebagai keturunan kaum Cina yang unik kerana kedudukannya yang hanya terdapat di Negeri-negeri Selat, Tanah Melayu khususnya di negeri Melaka.

Masyarakat Baba dan Nyonya sedikit sebanyak mewarisi budaya masyarakat Melayu. Kerana itu, hingga hari ini masih ada lagi masyarakat berkenaan menjadikan amalan dan pegangan masyarakat Melayu dalam kehidupan seharian mereka. Lebih unik, pakaian Nyonya Melaka adalah berbaju kebaya dan sarung batik.

Pelbagai makanan telah dibawa oleh masyarakat Baba dan Nyonya biarpun mirip masakan Cina dan Melayu. Makanan tradisi masyarakat Baba ini biasanya disajikan pada hari perayaan seperti sambutan Tahun Baru Cina, Hari Lahir atau Majlis Perkahwinan.

Di sinilah dihidangkan masakan dan kuih-muih tradisional mereka. Jadi, hari ini Dang Sari akan kongsikan 11 makanan Baba Nyoya yang Dang rasa korang tak pernah dengar pun makanan ni.

1. Nasi Kunyit

Nasi Kunyit merupakan beras pulut yang dimasak dengan santan dan kunyit yang dikenali sebagai nasi kuning. Hidangan nasi ini merupakan hidangan tradisional dan memainkan peranan penting dalam budaya Peranakan Melayu dan Cina di Malaysia.

Nasi kunyit ini dihidangkan bersama kari ayam, malah juga enak dimakan bersama rendang. Ia turut dihidangkan bersama telur rebus berwarna merah semasa perayaan bulan pertama untuk bayi.

Bayi yang berusia sebulan akan diperkenalkan secara rasmi kepada kaum keluarga dan saudara mara semasa sambutan ini. Ia juga menandakan berakhirnya tempoh pantang / kurungan bagi ibu baru. Warna kuning nasi ini membawa maksud kekayaan serta royalti yang baik.

2. Acar Ikan

Kredit : bakecookeat
Kredit : baked with paws

Acar ikan atau dikenali sebagai acar awak merupakan sayur-sayuran yang telah dijeruk serta diperasakan menggunakan bahan-bahan khusus. Acar ini mempunyai rasa masin dan manis serta pedas turut membangkitkan selera.

Hidangan ini sememangnya terkenal di kalangan masyarakat Baba dan Nyonya. Biasanya ia disediakan dalam jumlah yang banyak dan disimpan di dalam botol kaca, malah ia boleh disimpan lama.

Acar ini sememangnya enak dimakan bersama nasi putih dan ada juga yang menikmatinya bersama nasi lemak.

3. Laksa Nyonya

Kredit : baked with paws
Kredit : misstamchiak

Laksa adalah merupakan hidangan berkuah pedas yang popular di kalangan masyarakat Peranakan di Asia Tenggara. Ia diperbuat daripada mee gandum tebal atau bihun yang dimakan bersama ayam, udang atau ikan serta disajikan bersama kuah pedas berasaskan kari.

Masyarakat Peranakan di Melaka adalah keturunan puteri Cina yang bernikah dengan Sultan Melaka pada abad ke-15. Mereka mempunyai tradisi dan resipi mereka sendiri yang merupakan perpaduan kedua budaya ini – Melayu dan Cina. Oleh itu, hidangan laksa Nyonya ini dipengaruhi oleh gabungan dua budaya maka terhasillah hidangan ini.

4. Ayam Pongteh

Kredit : resepiyangindah

Ayam Pongteh adalah hidangan Baba dan Nyonya yang diperbuat daripada ayam, kentang dan kicap manis serta gula Melaka sebagai penambah perisa. Hidangan ini begitu enak sekali dan sering dijadikan hidangan tengahari mahupun malam.

Ayam Pongteh adalah hidangan khas Peranakan yang menggunakan kacang soya fermentasi sebagai bahan utamanya. Ia direbus bersama-sama dengan kentang di atas api yang kecil bersama kicap dan gula Melaka sehingga lembut.

Hidangan ini mempunyai rasa yang sedikit manis dan terbaik disajikan dengan nasi.

5. Ayam Buah Keluak

Kredit : tiffin biru
Kredit : says

Ayam Buah Keluak merupakan hidangan penting bagi masyarakat Peranakan. Ia menjadi ikon dan sinonim terhadap budaya yang terpahat di hati mereka. Dahulunya, bagi majlis-majlis keraian, hidangan ayam buah keluak ini akan diletakkan di atas-atas meja panjang yang dipanggil Tok Panjang.

Namun, situasi tersebut sudah agak dilupakan. Ia sebenarnya merupakan sejenis kari Baba dan Nyonya yang dimasak bersama buah keluak. Buah ini juga turut dikenali dengan nama buah kepayang diperoleh daripada pokok kepayang.

Hidangan ini mungkin nampak sama seperti hidangan lain, namun penggunaan buah keluak bagi hidangan ini telah memberi rasa yang berbeza. Walaubagaimanapun, hidangan ini mungkin sukar untuk diperolehi pada masa ini kerana kesukaran untuk mendapatkan buah keluak.

Proses untuk mendapatkan biji buah keluak ini yang agak sukar serta remeh menyebabkan hidangan ini semakin kurang mendapat sambutan.

6. Itik Tim

Kredit : facebook
Kredit : hungrygowhere

Itik Tim merupakan hidangan sup yang terdiri dari itik, sayuran seperti sawi, tomato, cendawan cina, kubis, cili serta buah pala. Ia merupakan hidangan wajib semasa menyambut hari perayaan. Ini adalah kerana ia merupakan makanan tradisional yang masih dipraktikkan sehingga ke hari ini.

Hidangan ini mempunyai ramuan rahsia yang tersendiri di mana itik tersebut perlu direndam serta direbus terlebih dahulu sehari sebelumnya. Proses ini dilakukan bagi mendapatkan hasil atau rasa yang lebih memuaskan. Lebih lama itik tersebut direndam, maka lebih sedap rasa itik tersebut.

7. Ayam Masak Cili

Masyarakat Peranakan turut mempunyai hidangan ayam masak cili yang tersendiri. Hidangan ini tidak jauh beza dengan makanan masyarakat lain. Namun, bagi ayam masak cili ini, mereka biasanya menggunakan pes cili yang agak banyak kira-kira setengah mangkuk.

Ini kerana golongan Baba dan Nyonya sangat menggemari hidangan pedas. Selain pes cili, bawang yang telah ditumis juga dimasukkan dengan banyak iaitu separuh bekas. Ini telah memberi aroma yang lebih wangi serta menyelerakan.

Di sinilah perbezaan cara penyediaan hidangan masyarakat Peranakan dengan hidangan masyarakat Melayu.

 8. Ikan Gerang Asam

Ikan Gerang Asam antara salah satu hidangan klasik orang Peranakan dan semakin tidak dikenali. Hidangan ini menggunakan rempah ratus yang berbeza biarpun nampak sama seperti hidangan masakan Melayu.

Penggunaan rempah yang unik di mana ia menggunakan rempah yang digabungkan bersama asam jawa menjadikan hidangan ini bernama “rempah gerang asam”.

Rempah ini memberi rasa asas dalam masakan Peranakan. Pelbagai jenis ikan boleh digunakan bagi menghasilkan hidangan ini antaranya ikan tenggiri, ikan merah, ikan kembong, selar dan banyak lagi.

Hidangan ini juga boleh menggunakan belimbing buluh, selain asam jawa. Ia turut menggunakan daun limau purut bagi memberi aroma yang lebih menarik. Ikan Gerang asam mungkin seakan asam pedas, namun rasanya sememangnya berbeza.

9. Inchi Kabin

Inchi Kabin merupakan hidangan ayam goreng ala Nyonya yang diperap bersama 5 jenis rempah dan santan. Inchi Kabin adalah sangat flavourful kerana bahan-bahan yang digunakan dalam perapan.

Ayam akan diperap terlebih dahulu bersama serbuk rempah 5 rasa, akar ketumbar serta santan. Penggabungan bahan-bahan ini menghasilkan rempah yang mantap serta berkrim, malah begitu enak sekali.

Serbuk rempah 5 rasa ini sebenarnya memainkan peranan utama dalam memberi rasa yang menakjubkan. Bahan-bahan yang digunakan untuk membuat serbuk lima rempah adalah berbeza-beza. Tetapi yang paling biasa adalah bunga lawang, bunga cengkih, jintan, kulit kayu manis dan lada hitam.

Bahan-bahan ini memberi rasa manis, masam pahit, pedas dan juga masin.

10. Kari Kapitan

Kredit :  themuddledpantry
Kredit : reddit

Kari kapitan merupakan hidangan yang menggabungkan pelbagai budaya yang terdapat di Malaysia, yang terdiri dari Melayu, Cina dan India. Hidangan kari ayam Nyonya ini terhasil dari interaksi kompleks dari pelbagai ramuan serta rempah ratus yang digunakan oleh orang Melayu dan Cina.

Kari kapitan ini rasanya sangat pedas kerana penggunaan cili yang begitu banyak serta bahan mentah lain seperti kunyit, pes udang, asam jawa dan juga santan. Kari ini juga agak berbeza rasanya kerana turut menggunakan serai, halia dan belacan untuk menyediakannya.

11. Jiu Hu Char

Kredit : Malaysianchinesekitchen
Kredit : minikitchenlab

Hidangan ini biasanya disajikan semasa menjelang hari perayaan bagi masyarakat Baba dan Nyonya. Jiu Hu Char terdiri daripada sotong kembang bersama sayur-sayuran seperti cendawan, lobak merah, capsicum, kubis dan banyak lagi. Sotong yang digunakan akan dicincang terlebih dahulu sebelum dimasak.

Ia juga dicampurkan dengan minyak bijan, sos tiram, air, garam dan gula serta minyak masak untuk menumis. Rasanya ringkas tetapi keenakannya tetap terserlah.

Ada yang terliur ke tu! Kalau teringin nanti lepas PKP… jom kita pergi gaiss…

Artikel berkaitan
5 Makanan Halal Wajib Cuba di Jeju
Rindunya! 10 Makanan Kanak-Kanak Yang Menggamit Memori
Kedai Mie jamu mata pengunjung dengan Jalur Gemilang setiap hari